Nuffnang

Jom Join..

PHEW....BLOG INI TELAH DIBUKA SEBANYAK…

Rekaan Seni Bina Yang Menakjubkan

 Lloyds Building, London

Diilhamkan arkitek tersohor kelahiran Itali, Richard Rogers, reka bentuk futuristik dipaparkan lebih mengingatkan kita kepada filem sains fiksyen berbanding kedudukannya di jalan sibuk di kota raya London. Dibina sekitar 1978 hingga 1986, Rogers disifatkan berfikiran inovatif apabila mengusulkan pembentukan sistem aliran paip, tangga dan 12 lif di luar bangunan.

Bangunan pencakar langit yang menggondol pelbagai anugerah termasuk Anugerah Khas Arkitektur di Eternit 8th International Prize dan Anugerah PA bagi Seni Bina Bangunan Inovasi, kedua-duanya pada tahun 1988, dikagumi kerana menyediakan sebuah atrium gergasi di pusat bangunan yang menempatkan loceng Lutine, peninggalan kapal angkatan tentera Perancis, La Lutine sebelum menyerah diri kepada kerajaan British pada 1973. Loceng itu dibunyikan sekali menandakan berita baik berlaku manakala dua kali bagi menyebarkan berita buruk dan bunyinya bergema ke seluruh bangunan.

Fallingwater, Pennsylvania, Amerika Syarikat

Garapan istimewa arkitek Frank Llyod Wrights bagi kediaman pewaris gedung beli-belah Pittsburgh, Edgar J Kaufmann. Dibina pada 1936, ia kemudiannya diiktiraf kediaman persendirian paling menakjubkan kerana mengemukakan gabungan prinsip kemanusiaan dengan alam semula jadi.

Sesuai tema, bahan binaan juga mengambil sumber alam terdapat di sekitarnya khasnya batu pasir yang kemudiaanya diteguhkan dengan kemasan konkrit, kaca serta keluli. Menariknya kedudukan banglo berkenaan betul-betul terletak di laluan air terjun Bear Run menyebabkan ia disalah anggap sebagai sebahagian elemen alam.

Hiasan dalamannya menterjemahkan pemikiran dan kreativiti luar biasa Wright yang menetapkan perabot daripada hasil alam misalnya, sofa daripada batu perut bumi, lantai batu licau selain jendela besar yang membawa masuk panorama luar. Menambah keunikan, binaan pendiang api dipercayai menggunakan bongkah batu menjadi kegemaran Kaufmann melepak sementara rekaan tangga unik berupaya menghubungkan penghuninya dengan pelantar kecil yang dibina di tengah air terjun. 
  
Burj Khalifa, Dubai

 Antara bangunan dengan seni bina hebat pada dekad atau abad ini. Merekodkan ketinggian 828.9 meter, bangunan pencakar langit terletak di tengah kota Dubai ini menyebabkan lebih daripada 162 tingkat membabitkan 49 ruang pejabat serta 1,044 rumah kediaman.

Menerusi pelan lantai seluas 334,000 meter persegi, bahagian menara dipercayai menyediakan kira-kira 57 buah lif bersama-sama 28,261 panel kaca luar. Difahamkan, seni binanya mengambil inspirasi bunga lili labah-labah (Hymenocallis flower) namun pelan lantai mengutarakan bentuk Y dibuat bertujuan mendapatkan pemandangan maksimum muka bumi teluk itu. Ia juga memiliki keistimewaan puncak menara yang boleh dilihat sehingga sejauh 95 kilometer.

Sementara diukur daripada berat aluminiumnya, ia dikatakan menyamai berat 5 buah pesawat A380 manakala kedalaman tapaknya adalah 50 meter. Jika dibandingkan dengan bangunan tersohor sedia wujud, Burj Khalifa dikatakan dua kali ganda lebih tinggi daripada Empire State (433 meter) malah melebihi ketinggian puncak Victoria (552 meter) di Hong Kong. Selain itu, ia diakui sebagai bangunan pencakar langit pertama dalam sejarah menyelitkan unit kediaman manakala suhunya dikatakan menurun sehingga 10 celcius menjelang puncak.  

Gunggenheim Museum, Bilbao Sepanyol 

Diilhamkan arkitek kacukan Kanada-Amerika, Frank Gehry, muzium ini sering menjadi perbualan dan mengundang perhatian ramai kerana mengiktirafkan ilham karya kontemporari.

Dilihat secara terperinci, keunikan serta kekuatan muzium ini terletak kepada permukaan dinding menampilkan banyak lekuk dan liku, seolah-olah ia direka secara rawak dan semberono.

Menara Jam Diraja, Makkah, Arab Saudi

Ketinggian 601 meter melayakkannya mendapat gelaran bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, Dubai namun, disahkan menampilkan muka jam terbesar pernah dicipta berukuran 43 meter x 43 meter sekali gus menewaskan menara jam Big Ben di London. 

Bangunan yang menjadi sebahagian projek mega kumpulan Saudi Binladin iaitu, syarikat pembinaan terbesar di Arab Saudi ini hanya berjarak 50 meter dari Masjid Besar Makkah, turut berfungsi sebagai penunjuk waktu solat berikutan boleh dilihat sejauh 17 kilometer apabila diterangi lampu pada waktu malam manakala pada sebelah siang, mengemukakan jarak pandangan sehingga 12 kilometer.

Selain memperuntukkan ruang solat yang boleh memuatkan 10,000 orang pada satu-satu masa, ia turut mengandungi 20 tingkat kompleks beli-belah, hotel bertaraf 5 bintang dan unit kediaman sementara puncak menara, menempatkan muzium Islam serta balai cerap bagi melihat anak bulan untuk menentukan tarikh berpuasa dan menyambut raya. 


Sumber: Berita Harian; Bennie Zie Fauzi

No comments:

Post a Comment

Post Menarik yang lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...