PROFIL
NAMA: Datuk Khairul Anwar Rahmat
JAWATAN: Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam)
LAHIR: 23 Jun 1976
ASAL: Kluang, Johor
ISTERI: Yuskiahniza Md Yusof
ANAK: Aiman Anwar (12), Amirul Anwar (9) dan Afreen Anwar (5)
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
USAI solat Subuh dan bersarapan, kanak-kanak lelaki berusia sembilan
tahun itu bergegas meninggalkan meja makan. Pantas kakinya menuruni
tangga, sekali gus menghasilkan gegaran kecil di lantai rumah kayu
dibina atas tanah pusaka. Penyapu lidi yang diletakkan di bawah pondok dapur tanah dicapai,
lalu si kecil tangkas membersihkan halaman rumah dipenuhi daun kering.
Himpunan sampah dilonggokkan di satu tempat, kemudian dibakar.
Berpuas hati dengan hasil kerja, anak kecil yang kini Pengerusi
Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berjalan
perlahan menuju ke rumah jiran terletak 50 meter dari rumahnya. Penuh
kesopanan, beliau meminta untuk membersihkan halaman rumah jiran dan
sebagai balasan, dia memohon izin untuk membaca surat khabar milik tuan
rumah. Gara-gara terlalu dahagakan ilmu, dia sanggup melakukan sesuatu
kerja mengikut kemampuannya berbanding rakan sebaya yang suka menonton
rancangan kartun di televisyen.
“Saya sangat suka membaca. Selain buku teks, surat khabar adalah medium utama bagi saya mendapatkan maklumat terkini, isu semasa dalam dan di luar negara.
“Percaya atau tidak, kini saya melanggan tujuh surat khabar setiap hari, sama ada di rumah mahupun di pejabat, kadangkala ia membuatkan saya teringat kenangan di masa kecil,” katanya ketika ditemui di D’Wangsa, Wangsa Maju.
Disoal dari mana datangnya cita-cita bergelar peguam, seikhlas hati beliau menyatakan, ia adalah hasrat ibu bapa yang ingin melihat semua cahaya mata memiliki kerjaya profesional sama ada doktor, jurutera mahupun akauntan.
“Terngiang-ngiang di telinga mendengar amanat ayah yang mahukan kami sembilan beradik mempunyai kerja profesional dalam pelbagai bidang, sekurang-kurangnya ia mampu saling membantu kemudian hari."
Oleh itu, tersemat di dada untuk saya menggalas dan merealisasikan impiannya. Syukur, berkat doa restu ibu bapa, kami semua berjaya dalam bidang dipilih. Saya memilih kerjaya peguam, selain minat membaca dan mengkaji maklumat, pengaruh ayah memberi kesan mendalam terhadap diri saya.
“Bapa saya memiliki hubungan baik dengan penduduk kampung kerana kerap dijadikan tempat rujukan bagi menyelesaikan masalah mahupun isu berkaitan,” katanya.
Memori menyaksikan kes fitnah tanpa pembelaan berlaku di depan mata sentiasa memberi semangat kepada Khairul Anwar untuk terus mengabdikan diri dalam kerjaya berkenaan. Pada usia tujuh tahun, anak lelaki kepada jirannya ditangkap polis atas tuduhan memiliki dadah yang dijumpai dalam kereta milik tertuduh. Yakin dengan personaliti dan keraguan kes berkenaan, Khairul Anwar berpandangan mangsa wajar dibela. Namun yang menjadi masalah ketika itu, tiada seorang pun di kalangan masyarakat kampungnya memiliki pengetahuan berkaitan undang-undang seperti alibi, apatah lagi bergelar peguam, menyebabkan nasib mangsa tidak terbela. Walaupun penduduk kampung membuat kutipan wang bagi mendapatkan khidmat peguam, ia tidak mencukupi. Akhirnya, tertuduh dijatuhi hukuman penjara beberapa tahun manakala keluarga jiran terbabit membuat keputusan berpindah dari kampung itu.
“Apabila menyaksikan kejadian itu, saya sedar betapa pentingnya khidmat guaman kepada sistem perundangan negara.
“Namun, ini bukan bermaksud peguam membela orang bersalah, sebaliknya mencari fakta, sekali gus membantu hakim membuat pertimbangan sewajarnya,” kata Khairul Anwar yang juga Pengerusi Khairul Group.
Selain digelar ulat buku di kalangan teman rapat, lelaki ini turut mempunyai minat menulis. Penyertaannya dalam pertandingan penulisan anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), pada tahun akhir pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membuktikan kebolehannya mengarang apabila meraih hadiah pertama. Sebaik saja berakhir tanggungjawab sebagai pelajar perundangan, pada 2000, Pengarang Kumpulan Berita Harian ketika itu, Datuk Rejal Arbee menawarkan jawatan wartawan bagi penulisan rencana dan laporan khas. Lima tahun berkecimpung dalam bidang kewartawanan memberi lelaki ini banyak pendedahan, tambahan pula tugasan wartawan sama seperti peguam iaitu mencari kebenaran untuk masyarakat. Kemuncaknya, menerusi laporan khas kerenah birokrasi di pejabat tanah bersama teman setugas, Mohd Yusof Sulaiman, beliau menerima anugerah kewartawanan berprestij negara, Hadiah Kajai, 2002. Biarpun menerima ugutan daripada pihak tertentu meminta supaya dihentikan penyiasatan, dia tetap meneruskan tugasan, malah semangatnya semakin membara menegakkan hak masyarakat.
Berpuas hati dengan pencapaian dan hasrat menimba pengalaman sebagai wartawan, Khairul Anwar berbincang dengan ketua pengarang untuk ‘bersara sementara’ demi menunaikan amanat ibu bapanya supaya bergelar peguam. Meninggalkan kerjaya wartawan bukan bermaksud beliau melupakan bidang penulisan, sebaliknya dalam kesibukan bergelar peguam sivil dan syariah, Khairul Anwar masih aktif menulis artikel di dada akhbar mahupun majalah. Mengulas mengenai penubuhan SukaGuam, beliau berkata, ia berfungsi membantu golongan masyarakat yang memerlukan khidmat guaman tanpa mengira latar belakang agama mahupun kaum.
“Merujuk kes yang berlaku kepada jiran saya, ramai rakyat miskin dan berpendapatan sederhana mempunyai masalah guaman tetapi kekangan kewangan membuatkan mereka mendiamkan diri."
Sebelum ini, kita hanya mengadakan sesi bersama masyarakat
pada Jumaat minggu pertama dan ketiga setiap bulan, tetapi kini setiap
minggu selepas berakhirnya solat Jumaat, kita memberi peluang kepada
orang ramai menyatakan masalah kepada SukaGuam.
“Sejak enam bulan ditubuhkan, SukaGuam menerima lebih 500 kes sama ada sivil mahupun syariah. Pelbagai kes didengari dan kadangkala seakan-akan tidak percaya ia boleh berlaku di kalangan masyarakat kita,” katanya.
Katanya, penubuhan SukaGuam juga membuktikan kerjaya sebagai peguam bukan saja menerima keuntungan material, bahkan khidmatnya turut disalurkan kepada masyarakat tidak berkemampuan.
Mahu sediakan khidmat guaman on-line
1. Jika bukan bergelar peguam atau wartawan, apakah profesion anda?
Tidak pernah saya fikirkan mana-mana profesion melainkan dua kerjaya ini dan saya rasa bakat serta minat hanya menjurus ke bidang terbabit.
2. Aktiviti waktu senggang?
Saya lebih suka menghabiskan masa melakukan aktiviti rekreasi bersama keluarga seperti beriadah, berenang dan menonton TV bersama keluarga di rumah.
3. Kegilaan anda?
Saya paling menggemari gajet terbaru. Pastinya, apabila adanya gajet baru di pasaran, secepat mungkin saya cuba mendapatnya, dan yang terbaru iPad 2.
Malah, saya yakin satu hari nanti khidmat guaman bakal selari dengan perkembangan teknologi. Saya juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan khidmat guaman secara on-line.
4. Berapa jam sehari anda peruntukkan untuk membaca buku?
Sekurang-kurangnya tiga jam.
5. Kaedah didikan anak yang anda amalkan?
Setiap hari sebelum waktu Maghrib, saya akan berusaha berada di rumah untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah. Bagi solat Jumaat pula, saya dan anak akan bertemu di masjid sama dan perbincangan mengenai isi khutbah diadakan bersama mereka di rumah.
6. Destinasi pelancongan terakhir anda?
Los Angeles dan Florida, tahun lalu.
7. Prinsip hidup anda?
Kebenaran dan keadilan seharusnya diletakkan pada sesuatu yang berhak.

MINI...menghabiskan masa membaca buku di perpustakaan mini di pejabatnya.
Sumber: harian metro online
No comments:
Post a Comment