SYARIKAT pengeluar motosikal tempatan, Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) bakal memperkenalkan model motosikal elektrik pertamanya iaitu Modenas CTric tidak lama lagi.
Jentera tersebut dilengkapi lima unit bateri asid plumbum 12V/20AH berasaskan teknologi Nano Gel sebagai sumber tenaga penggerak dan boleh dikitar semula selepas tamat tempoh hayatnya. Bateri yang memiliki jangka hayat sebanyak 500 kitaran itu juga mempunyai nilai pembelian semula.
Motosikal hijau CTric mengguna pakai motor jenis Motor Arus Terus Tanpa Sesentuh berkuasa 3.60kW @ 80 kilometer/sejam (km/j) kalis air selain memiliki bearing gandar berkelajuan tinggi, alat pengesan Honeywell Hall dan Brakeless Rotor. Pada kelajuan purata 30km/j, motosikal tersebut mampu mencapai jarak sejauh 60km untuk setiap cas penuh. Ia juga berupaya mencapai had laju sehingga 80km/j.
Unit Kawalan Motor jentera itu dilengkapi dengan Programmed Torque Syncronizer, Overload Protection System, Smooth Digitised Sequential Power Switching dan pengecas pintar yang mengambil masa selama 3.5 jam untuk pengecasan pantas. Bagi pengecasan normal pula, tempoh selama lapan jam diperlukan. Kos elektrik dianggarkan sebanyak satu sen untuk setiap km.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Abdul Halim Ismail berkata, motosikal CTric diuji berdasarkan tahap piawaian ujian JIS (Japan Industrial Standard) dan lulus standard piawaian Malaysia iaitu SIRIM MS2413.
“Motosikal ini amat praktikal bagi mereka yang sering bergerak dalam radius di antara 30km hingga 50km sehari dan pastinya membantu memulihara alam sekitar. CTric juga sesuai untuk tunggangan santai atau kegunaan dalam kawasan kampus universiti," katanya dalam satu kenyataan. - KosmoOnline
Sumber:- bom321.com
No comments:
Post a Comment