KUALA LUMPUR: “Saya nekad mahu buktikan walaupun ditempatkan di kelas tercorot saya juga mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam pelajaran seperti murid lain,” kata Siti Aisyah Mawardi, 12, yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Siti Aisyah yang tinggal bersama nenek selepas ibu bapanya bercerai enam tahun lalu adalah antara 41 murid memperoleh keputusan cemerlang di Sekolah Kebangsaan Sentul 1 di sini, semalam.
Dia juga tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berikutan ketika peperiksaan percubaan UPSR hanya memperoleh 4B 1C. “Keputusan yang kurang memberangsangkan itu menyebabkan saya terus membanyakkan ulang kaji mata pelajaran yang lemah. Saya juga bersyukur kerana selain selalu dibantu guru di sekolah, nenek juga tidak jemu memberi dorongan dan sokongan,” katanya.
Ditanya resipi kejayaannya, Siti Aisyah berkata, dia memberi tumpuan ketika belajar di dalam kelas serta sentiasa menyiapkan kerja sekolah selain mengikuti kelas tambahan disediakan pihak sekolah.
Sementara itu, Kamaliah Nasuha Azuan, 12, dari Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, kejayaannya mendapat 5A dalam UPSR berbaloi dengan usaha kerasnya selama ini walaupun terpaksa menyeimbangi antara latihan sukan dan akademik.
Kamaliah yang pernah mewakili sekolahnya dalam sukan bola jaring hingga ke peringkat negeri berkata, walaupun penat menjalani latihan kokurikulum di sekolah, dia cuba mencuri masa dua jam untuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan.
“Saya bercita-cita menjadi atlit negara dalam sukan bola jaring,” katanya.
Selain itu, katanya, keputusan yang diperoleh semalam agak mengejutkannya kerana tidak menyangka mampu memperoleh 5A berikutan dia agak lemah dalam subjek Sains.
“Sebelum ini pun saya hanya memperoleh B bagi subjek Sains. Saya tak percaya boleh dapat A,” katanya.
Sumber :- http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment