Tazkirah Ramadhan 1433: Hari - 1
Amalan kesukaan Nabi Muhammad S.A.W di bulan Ramadhan...
AMALAN yang menghidupkan Ramadan ialah memperbanyakkan sedekah kerana
sikap bermurah hati pada Ramadan adalah dituntut. Ibn Abbas
meriwayatkan: “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan beliau
lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu
membacakan padanya al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)
1) Membaca al-Quran
Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan kerana ia
bulan al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “… bulan Ramadan
yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia
dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan)
perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat
185)
Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Nabi
SAW setiap hari sepanjang Ramadan. Para salaf mendahulukan bacaan
al-Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam
masa tiga hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan.
Saidina Uthman bin Affan khatam al-Quran setiap hari pada Ramadan. Imam
Zuhri berkata apabila tiba Ramadan, “Sesungguhnya Ramadan itu bulan
membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa.”
2) Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberikan makan
kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang
berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun dari pahala orang
yang berpuasa itu.” (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan
ad-Darimi)
3) Qiamullail
Disunatkan berjaga malam secara
berjemaah pada bulan Ramadan iaitu solat terawih dan waktunya di antara
solat Isyak hinggalah terbitnya fajar. Nabi sangat gemar mendirikan
malam pada bulan Ramadan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala
daripada Allah Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang
terdahulu.”
(Hadis riwayat Bukhari)
4) Solat tarawih
Solat tarawih adalah solat khusus yang hanya dilakukan pada Ramadan.
Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya
dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah tempat, sebelum
solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.
5) Mengerjakan umrah
Perkara disunatkan pada Ramadan adalah mengerjakan umrah berdasarkan
sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Umrah pada Ramadan (pahalanya) sama
dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan haji bersamaku.”
(Hadis riwayat Bukhari)
6) Zakat fitrah
Zakat fitrah
dikeluarkan khusus pada Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya
solat sunat hari raya. Setiap Individu Muslim yang berkemampuan wajib
membayar zakat fitrah. Nilai zakat fitrah adalah satu gantang makanan
ruji atau setara dengan 2.7 kilogram beras. Di Malaysia, nilai zakat
fitrah ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.
Selamat
Berpuasa dan Selamat Memperbanyakkan Ibadat. Semoga Allah memberkati
segala hasil usaha kita di Bulan Yang Mulia Ini. Amin :)
No comments:
Post a Comment