Bismillah, perkongsian ini dimajukan.
Paparan berita di media cetak, elektronik dan
maya hari ini serba sedikit menarik perhatian kita sejenak. Tajuknya yang
mungkin sensitif bagi sebahagian kita,
tetapi itulah realiti yang ada. Menurut kajian yang dibuat oleh Lembaga
Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seramai 2.5 juta penduduk di
negara Malaysia yang berumur 25 tahun ke atas tidak berkahwin dengan beberapa
faktor yang dinyatakan.
Saya terfikir dan merenung seketika pagi tadi.
Akal berfikir jauh seolah-olah mengamati realiti itu. Ya. Sebenarnya soal
jodoh, perkahwinan dan pembentukan keluarga itu sangat-sangat dekat dengan kita
semua. Semua orang punyai impian, hasrat dan harapan untuk melalui fasa-fasa
itu bukan?
Anda pula bagaimana?
Tengah harinya, saya seperti biasa keluar makan
tengahari bersama rakan-rakan di kedai makan beramai-ramai. Biasalah, banyak
juga perkara yang kami sembang-sembang dan bual-bualkan. Tiba-tiba, salah
seorang daripada kami berkongsi sesuatu.
“ Sebelum berkahwin, biasanya seseorang itu
perlu ada tiga “kunci”,” Kata seorang sahabat saya. Ajuan pertanyaan kepada
kami semua yang ada.
“ Apa tiga kunci itu?,” Sampuk seorang daripada
kami.
“ Haa.. cuba teka,” Katanya.
Semua berfikir-fikir sambil berusaha menjawab.
Bicara kami diteruskan sambil menikmati juadah rojak ayam dan nasi ayam di
kedai D’Bagan yang sangat menyelerakan.
Terus dia berkata :
“ Pertama, kunci pejabat,”
“ Kedua, kunci kereta,”
“ Ketiga, kunci rumah,”
Kemudian dengan spontan saya berkata, :
“ Ada satu lagi, cuba teka?,”
“ Kunci Syurga!,” Ada yang cuba menambah.
Saya tersenyum sambil menyuap makan ke mulut.
“ Ada satu lagi, tahu apa dia ?,”
“ Kunci spare!,” Kata Saya.
Masing-masing ternaik kening dan riak muka
sedikit teruja. – Smile -
Kita, kita dan Perkahwinan
Saya menerima beberapa perkongsian, pertanyaan
dan diskusi daripada beberapa orang adik-adik dan sahabat-sahabat agar dapat
share sedikit berkaitan alam rumah tangga. Menariknya, ada dikalangan mereka
begitu bersemangat untuk melangkah ke fasa persediaan untuk mendirikan
rumahtangga serta alam pertunangan. Alhamdulillah, ia adalah suatu mind
setting yang baik.
“ We get married to increase our iman,” Itulah kata-kata Hisham Al-Awady
yang memikat hati saya.
Sebelum mendirikan rumahtangga, itulah yang
tertanam dalam jiwa saya bahawa perkahwinan yang akan dilalui itu adalah untuk mendekatkan
diri kepada Allah SWT.
Alhamdulillah, antara perkara yang saya
perolehi yang paling ketara selepas berkahwin ialah ibadah yang lebih khusyuk
dan tenang.
Fasa-fasa yang dilalui dalam kehidupan bermula
daripada bayi, kanak-kanak, remaja dan seterusnya melangkah ke alam dewasa
menjadi sesuatu yang akan dilalui bagi setiap insan di dunia ini. Fasa-fasa ini
adalah titik perubahan yang meninggalkan pengaruh, kesan dan bekas kepada
setiap manusia yang mengalaminya.
Begitu juga, dalam konteks alam rumah tangga.
Setiap manusia yang normal, secara fitrahnya memiliki hasrat dan keinginan
untuk mendirikan rumah tangga. Impian untuk mempunyai pendamping hidup, peneman
dan insan yang dikasihi serta disayangi secara lebih dekat itu dengan suasana
hidup secara bersama. Mereka ingin dikat serta berkongsi hidup secara halal,
suci, bersih dan sah. Namun, suatu persoalan yang harus jelas tertanam dalam
benak kita ialah apakah sebenarnya tujuan kita mendirikan rumahtangga ini?
Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti sebelum
ini adakah saya benar-benar bersedia atau tidak di saat melangkah kaki ke alam rumah
tangga. Namun, dengan ilmu serta pengalaman yang amat-amat sedikit dan terbatas
saya melalui dengan penuh usaha untuk lakukan yang terbaik serta meletakan
sepenuhnya pergantungan hanya kepada Allah SWT. Kepada-Nya jualah diri ini
kembali.
Dan, selain itu juga hasilnya ialah tanggapan
saya tentang dunia perkahwinan sebelum berkahwin amat berbeza dengan tanggapan
saya tentang alam perkahwinan selepas melaluinya.
Mungkin benarlah, apa yang murabbi saya sebut :
“ Lalui dunia perkahwinan dengan persepsi yang sederhana, dan di
saat-saat melaluinya teruslah belajar dan belajar serta perbaiki diri dengan niat
untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.”
Justeru, apakah yang seharusnya kita lakukan?
Wallahu’alam, berdasarkan bual bicara bersama mereka-mereka
yang telah lama dalam fasa ini – bersedialah bersungguh-sungguh sebelum
melangkah ke alam berumah tangga. Ia meliputi minda, hati, fizikal dan rohani.
Saya ringkaskan ia berdasarkan apa yang pernah dikongsikan oleh murabbi saya
melalui cetusan pandangan oleh Sheikh Hisham al-Wady. Katanya 3 kunci
persediaan yang harus ada bagi bakal pengantin sebelum mendirikan rumah tangga
iaitu :
(1) Memahami
dan mendalami Deen Islam sebagai cara hidup
(2) Mengamati
dan fahami perbezaan antara lelaki dan perempuan (Serius : Hal ini sangat-sangat
penting & ramai yang terlepas pandang)
(3) Mengutip
kefahaman sedalamnya tentang dunia perkahwinan itu sendiri
Dan, antara persediaan dan persiapan yang paling penting ialah persediaan kejiwaan. Di sinilah titik kekuatan yang paling utuh dan ampuh dalam menghadapi segala ujian, dugaan dan cabaran alam rumahtangga kelak.
Di masa mendatang, saya berhajat untuk kongsikan buku-buku serta bahan bacaan yang amat sesuai untuk dijadikan rujukan sebagai persiapan sebelum mendirikan rumahtangga. InsyaAllah, ia akan disusun, dirumuskan dan dikongsikan nanti.
Sekadar itu sahaja yang mampu saya kongsikan saat ini, semoga ianya bermanfaat.
Nota : Setelah setahun berkahwin, saya lebih
berhati-hati dan cermat dalam menulis tentang dunia perkahwinan. Di sana
terdapat banyak perkara yang semakin hari semakin banyak perkara yang saya timba,
belajar dan telusuri. Banyak perkara yang saya tidak tahu, tidak tahu dan tidak
tahu. Setiap hari ada debaran bagi pasangan suami isteri yang mendirikan rumah
tangga. Itu perasaan saya. Wallahu’alam.
BroHamzah
9 Mei 2012
Semakin Hari Semakin Sayang - Menuju Usrah Cinta
Sumber rujukan: brohamzah.blogspot.com
No comments:
Post a Comment