PULAU PINANG, 18 Mei 2012 –
Minyak kelapa sawit mempunyai potensi besar dijadikan sumber alternatif
makanan ikan akuatik (aquafeed) yang berupaya memastikan kelestarian
dan
perkembangan pesat industri akuakultur dan juga industri minyak kelapa
sawit itu sendiri.
Prof.
Ng Wing Keong, pakar bidang nutrisi akuakultur di Pusat Pengajian Sains
Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata minyak kelapa sawit
yang kaya dengan beta karotena,
vitamin E dan lipid boleh menggantikan minyak ikan sebagai makanan
beberapa spesies ikan tanpa memberikan sebarang kesan negatif kepada
ikan tersebut dari segi tumbesaran, kecekapan penggunaan makanan,
kemandirian dan kualiti daging.
Tambahnya lagi, sejak tahun
1998, Makmal Nutrisi Ikan di USM telah memulakan penyelidikan yang
menyeluruh untuk menilai potensi penggunaan minyak kelapa sawit dalam
pengeluaran
aquafeed.
"Dalam kajian yang
dijalankan, didapati minyak kelapa sawit ternyata mempunyai banyak
kelebihan berbanding dengan minyak tumbuhan yang lain, antaranya ialah
ia dapat meningkatkan
prestasi tumbesaran spesies ikan seperti ikan keli Afrika. Sehingga
kini minyak kelapa sawit juga telah dikaji sebagai rumusan makanan untuk
ikan tilapia, ikan keli, karp, salmon Atlantik, ikan trout pelangi dan
udang.
“Selain itu, memandangkan
minyak kelapa sawit ialah minyak yang paling banyak dihasilkan di dunia,
maka kos pengeluarannya lebih rendah dan harganya juga lebih
kompetitif, menjadikan
pengeluarannya lebih lestari,” kata Prof. Ng.
Hasil penemuan penyelidikan
ini bukan sahaja berjaya menarik perhatian ramai penyelidik dan ahli
nutrisi ikan di seluruh dunia tetapi juga syarikat-syarikat besar
tempatan dan
antarabangsa yang terlibat dalam industri akuakultur ataupun industri
aditif makanan.
Prof. Ng berkata demikian
ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk "Potensi Penggunaan Minyak
Kelapa Sawit dalam Industri Akuakultur Global" yang diadakan untuk
memberi penghormatan
kepada beliau sempena pelantikan beliau sebagai seorang profesor USM.
Prof. Ng yang menganggotai
lembaga editorial tujuh jurnal antarabangsa, dua majalah perdagangan
antarabangsa dan dua penerbitan tempatan serta menjadi penilai untuk
lebih 200
manuskrip dari seluruh dunia bagi 30 jurnal berwasit yang berlainan,
telah dilantik sebagai profesor oleh USM sejak Ogos 2009.
Reputasi beliau sebagai
seorang pakar dalam bidang nutrisi akuakultur telah membolehkan beliau
dilantik sebagai konsultan penyelidikan dengan syarikat dan organisasi
bertaraf
antarabangsa, serta sering dijemput untuk memberi ceramah dan
mempengerusikan sesi forum saintifik di persidangan kebangsaan dan
antarabangsa.
No comments:
Post a Comment