Ipad2 menjadi fenomena baru di kalangan penggemar peranti multimedia.
SELEPAS lebih setahun syarikat pengkomputeran Apple memperkenalkan peranti tablet pintar iPad, ia telah terjual sebanyak hampir 15 juta unit di seluruh dunia.
Sambutan luar biasa itu disebabkan pengguna tertarik dengan keunikan fungsinya yang membawa dimensi baru dalam operasi pengkomputeran mobiliti.
Memperluaskan legasi pembangunan gajet moden tersebut, Apple baru-baru ini menampilkan pula versi baru iPad 2 dengan keupayaan kuasa lebih baik dan cemerlang.
Pengenalannya telah dilakukan oleh Ketua Eksekutif Apple, Steve Jobs di San Francisco pada 2 Mac lalu.
Secara keseluruhannya, pembangunan peranti iPad 2 memberi fokus kepada pelaksanaan aktiviti pengkomputeran utama seperti pelayaran web, akses e-mel serta operasi multimedia untuk pengurusan foto, video, muzik, permainan video dan buku elektronik (e-book).
Binaan reka bentuk luar iPad 2 mempunyai 33 peratus lebih nipis dan 15 peratus lebih ringan berbanding versi pertamanya.
Namun, daripada segi paparan, ia masih mengekalkan implementasi skrin LCD 9.7 inci dengan sokongan lampu belakang LED.
Operasi iPad 2 dipacu oleh sistem pemproses A5 berkembar yang menawarkan prestasi lebih pantas dan grafik makin menyerlah.
Tidak cukup dengan itu, ia turut dilengkapi kamera VGA hadapan dan belakang bagi menyokong operasi panggilan video serta rakaman video definisi tinggi (HD) 720p.
Dengan keupayaan itu juga, pengguna kini boleh melakukan panggilan FaceTime kepada semua rangkaian peranti seperti iPhone 4, iPod Touch, dan Mac.
Menerusi aplikasi Photo Booth pula, pengguna berpeluang mengedit foto yang telah di ambil dengan memasukkan kesan-kesan visual yang menarik.
iPad 2 dipacu oleh sistem operasi iOS 4.3 versi terkini yang menampilkan aplikasi-aplikasi seperti pelayar Safari Mobile, iTunes Home Sharing dan AirPlay.
Selain itu, pengguna turut ditawarkan dengan aplikasi iMovie untuk menyunting video serta Hotspot untuk tujuan perkongsian sambungan data selular bersama iPhone 4 menerusi Wi-Fi.
Spesifikasi lainnya adalah seperti perisian Gyro untuk permainan video, akses pelayaran HSUPA dan paparan kandungan televisyen HD melalui sambungan adaptor.
Sesuatu yang menarik, iPad 2 ini didatangkan bersama penutup pintar di bahagian hadapannya yang bertindak sebagai penyokong bahagian badan secara menegak ketika peranti digunakan untuk menaip atau menonton video.
Penutup pintar itu juga dibangunkan dengan rekaan engsel magnetik unik supaya mudah di pasang dan ditanggalkan selain dilengkapi lapisan gentian mikro bagi menjamin kebersihan permukaan skrin.
Ia turut berperanan mengaktifkan peranti secara automatik apabila ia dibuka dan menamatkan operasi sebaik ditutup.
Setakat ini, iPad 2 boleh menyokong lebih 350,000 aplikasi daripada App Store dan 65,000 aplikasi yang dibangunkan oleh individu atau syarikat daripada 20 kategori.
Ia termasuk permainan video, bisnes, berita, sukan, kesihatan dan pelancongan.
Menerusi aplikasi iTunes Store pula, pengguna iPad 2 berpeluang mengakses paparan kandungan muzik, televisyen dan filem secara dalam talian.
Walaupun iPad 2 mampu menyokong pelbagai perisian dan aplikasi, namun ia mempunyai ketahanan jangka hayat bateri sehingga 10 jam.
Sumber :- Utusan.com.my
No comments:
Post a Comment