Nuffnang

Jom Join..

PHEW....BLOG INI TELAH DIBUKA SEBANYAK…

Gula Naik 20 sen, Minuman Pun Naik 50 sen



KUALA LUMPUR: “Tindakan sesetengah pengusaha restoran menaikkan harga minuman melebihi 50 sen daripada harga asal kesan daripada kenaikan harga gula adalah melampau dan tindakan keras melalui Akta Anti Pencatutan akan diambil ke atas peniaga,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Akta Pencatutan 2010 yang mula berkuat kuasa pada awal bulan lalu menyebabkan peniaga tidak lagi boleh menaikkan harga barang dan mengaut untung berlebihan sesuka hati dan sekiranya melanggar peraturan itu, mereka akan berdepan dengan hukuman berat.

Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas tindakan sesetengah pengusaha restoran yang menaikkan harga minuman dan makanan sesuka hati selepas kerajaan mengumumkan harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen daripada RM2.10 kepada RM2.30 sekilogram pada 10 Mei lalu.

Katanya, mengikut pengiraan akibat kenaikan harga gula, harga secawan kopi dan teh naik sebanyak 0.4 sen dan sekiranya peniaga didapati menjual melebihi harga itu dan mempunyai keuntungan tidak munasabah, mereka akan dikenakan tindakan keras.

“Pegawai kawalan harga kami akan melakukan pemantauan secara kerap terhadap restoran bagi mengelakkan mereka mengambil kesempatan ini untuk mengaut keuntungan dan membebankan masyarakat.

“Jika terdapat peniaga yang menaikkan harga gula melebihi RM2.30 pula, saya minta orang ramai membuat aduan terus kepada pihak kami agar bekalan gula mereka boleh dirampas seterusnya dikenakan tindakan,” katanya selepas melancarkan ‘Kempen Kurang Gula, Kurang Belanja’ anjuran d’Tandoor Food Industries Sdn Bhd di Menara Kuala Lumpur, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kepenggunaan dan Pengurusan KPDNKK, Mahani Tan; Pengerusi Menara Kuala Lumpur, Tan Sri Ir Muhammad Radzi Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Zuraida Mohd Said.

Sempena kempen itu, Restoran d’Tandoor, Ali Maju dan Menara Kuala Lumpur akan mengurangkan harga minuman kurang gula mereka sebanyak 10 peratus untuk sepanjang tahun ini.

Ia bertujuan menggalakkan dan mendorong pengguna untuk memilih minuman kurang kandungan gula bagi mengelakkan mendapat penyakit kronik seperti kencing manis.

Sumber:- Metro Online

No comments:

Post a Comment

Post Menarik yang lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...