PROFILNAMA: Datuk Khairul Anwar Rahmat
JAWATAN: Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam)
LAHIR: 23 Jun 1976
ASAL: Kluang, Johor
ISTERI: Yuskiahniza Md Yusof
ANAK: Aiman Anwar (12), Amirul Anwar (9) dan Afreen Anwar (5)
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
USAI solat Subuh dan bersarapan, kanak-kanak lelaki berusia sembilan
tahun itu bergegas meninggalkan meja makan. Pantas kakinya menuruni
tangga, sekali gus menghasilkan gegaran kecil di lantai rumah kayu
dibina atas tanah pusaka. Penyapu lidi yang diletakkan di bawah pondok dapur tanah dicapai,
lalu si kecil tangkas membersihkan halaman rumah dipenuhi daun kering.
Himpunan sampah dilonggokkan di satu tempat, kemudian dibakar.
Berpuas hati dengan hasil kerja, anak kecil yang kini Pengerusi
Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berjalan
perlahan menuju ke rumah jiran terletak 50 meter dari rumahnya. Penuh
kesopanan, beliau meminta untuk membersihkan halaman rumah jiran dan
sebagai balasan, dia memohon izin untuk membaca surat khabar milik tuan
rumah. Gara-gara terlalu dahagakan ilmu, dia sanggup melakukan sesuatu
kerja mengikut kemampuannya berbanding rakan sebaya yang suka menonton
rancangan kartun di televisyen.
“Saya sangat suka membaca. Selain buku teks,
surat khabar adalah medium utama bagi saya mendapatkan maklumat terkini,
isu semasa dalam dan di luar negara.
“Percaya atau tidak, kini
saya melanggan tujuh surat khabar setiap hari, sama ada di rumah mahupun
di pejabat, kadangkala ia membuatkan saya teringat kenangan di masa
kecil,” katanya ketika ditemui di D’Wangsa, Wangsa Maju.
Disoal
dari mana datangnya cita-cita bergelar peguam, seikhlas hati beliau
menyatakan, ia adalah hasrat ibu bapa yang ingin melihat semua cahaya
mata memiliki kerjaya profesional sama ada doktor, jurutera mahupun
akauntan.
“Terngiang-ngiang di telinga mendengar amanat ayah yang
mahukan kami sembilan beradik mempunyai kerja profesional dalam
pelbagai bidang, sekurang-kurangnya ia mampu saling membantu kemudian
hari."
Oleh itu, tersemat di dada untuk saya menggalas dan
merealisasikan impiannya. Syukur, berkat doa restu ibu bapa, kami semua
berjaya dalam bidang dipilih. Saya memilih kerjaya peguam, selain
minat membaca dan mengkaji maklumat, pengaruh ayah memberi kesan
mendalam terhadap diri saya.
“Bapa saya memiliki hubungan baik
dengan penduduk kampung kerana kerap dijadikan tempat rujukan bagi
menyelesaikan masalah mahupun isu berkaitan,” katanya.
Memori
menyaksikan kes fitnah tanpa pembelaan berlaku di depan mata sentiasa
memberi semangat kepada Khairul Anwar untuk terus mengabdikan diri dalam
kerjaya berkenaan. Pada usia tujuh tahun, anak lelaki kepada
jirannya ditangkap polis atas tuduhan memiliki dadah yang dijumpai dalam
kereta milik tertuduh. Yakin dengan personaliti dan keraguan kes
berkenaan, Khairul Anwar berpandangan mangsa wajar dibela. Namun
yang menjadi masalah ketika itu, tiada seorang pun di kalangan
masyarakat kampungnya memiliki pengetahuan berkaitan undang-undang
seperti alibi, apatah lagi bergelar peguam, menyebabkan nasib mangsa
tidak terbela. Walaupun penduduk kampung membuat kutipan wang bagi mendapatkan khidmat peguam, ia tidak mencukupi. Akhirnya,
tertuduh dijatuhi hukuman penjara beberapa tahun manakala keluarga
jiran terbabit membuat keputusan berpindah dari kampung itu.
“Apabila menyaksikan kejadian itu, saya sedar betapa pentingnya khidmat guaman kepada sistem perundangan negara.
“Namun,
ini bukan bermaksud peguam membela orang bersalah, sebaliknya mencari
fakta, sekali gus membantu hakim membuat pertimbangan sewajarnya,” kata
Khairul Anwar yang juga Pengerusi Khairul Group.
Selain digelar
ulat buku di kalangan teman rapat, lelaki ini turut mempunyai minat
menulis. Penyertaannya dalam pertandingan penulisan anjuran The New
Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), pada tahun akhir pengajian di
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membuktikan kebolehannya
mengarang apabila meraih hadiah pertama. Sebaik saja berakhir
tanggungjawab sebagai pelajar perundangan, pada 2000, Pengarang Kumpulan
Berita Harian ketika itu, Datuk Rejal Arbee menawarkan jawatan wartawan
bagi penulisan rencana dan laporan khas. Lima tahun berkecimpung
dalam bidang kewartawanan memberi lelaki ini banyak pendedahan,
tambahan pula tugasan wartawan sama seperti peguam iaitu mencari
kebenaran untuk masyarakat. Kemuncaknya, menerusi laporan khas
kerenah birokrasi di pejabat tanah bersama teman setugas, Mohd Yusof
Sulaiman, beliau menerima anugerah kewartawanan berprestij negara,
Hadiah Kajai, 2002. Biarpun menerima ugutan daripada pihak
tertentu meminta supaya dihentikan penyiasatan, dia tetap meneruskan
tugasan, malah semangatnya semakin membara menegakkan hak masyarakat.
Berpuas
hati dengan pencapaian dan hasrat menimba pengalaman sebagai wartawan,
Khairul Anwar berbincang dengan ketua pengarang untuk ‘bersara
sementara’ demi menunaikan amanat ibu bapanya supaya bergelar peguam. Meninggalkan
kerjaya wartawan bukan bermaksud beliau melupakan bidang penulisan,
sebaliknya dalam kesibukan bergelar peguam sivil dan syariah, Khairul
Anwar masih aktif menulis artikel di dada akhbar mahupun majalah. Mengulas
mengenai penubuhan SukaGuam, beliau berkata, ia berfungsi membantu
golongan masyarakat yang memerlukan khidmat guaman tanpa mengira latar
belakang agama mahupun kaum.
“Merujuk kes yang berlaku kepada
jiran saya, ramai rakyat miskin dan berpendapatan sederhana mempunyai
masalah guaman tetapi kekangan kewangan membuatkan mereka mendiamkan
diri."
Sebelum ini, kita hanya mengadakan sesi bersama masyarakat
pada Jumaat minggu pertama dan ketiga setiap bulan, tetapi kini setiap
minggu selepas berakhirnya solat Jumaat, kita memberi peluang kepada
orang ramai menyatakan masalah kepada SukaGuam.
“Sejak enam bulan
ditubuhkan, SukaGuam menerima lebih 500 kes sama ada sivil mahupun
syariah. Pelbagai kes didengari dan kadangkala seakan-akan tidak percaya
ia boleh berlaku di kalangan masyarakat kita,” katanya.
Katanya,
penubuhan SukaGuam juga membuktikan kerjaya sebagai peguam bukan saja
menerima keuntungan material, bahkan khidmatnya turut disalurkan kepada
masyarakat tidak berkemampuan.
Mahu sediakan khidmat guaman on-line
1. Jika bukan bergelar peguam atau wartawan, apakah profesion anda?
Tidak
pernah saya fikirkan mana-mana profesion melainkan dua kerjaya ini dan
saya rasa bakat serta minat hanya menjurus ke bidang terbabit.
2. Aktiviti waktu senggang?
Saya
lebih suka menghabiskan masa melakukan aktiviti rekreasi bersama
keluarga seperti beriadah, berenang dan menonton TV bersama keluarga di
rumah.
3. Kegilaan anda?
Saya paling menggemari
gajet terbaru. Pastinya, apabila adanya gajet baru di pasaran, secepat
mungkin saya cuba mendapatnya, dan yang terbaru iPad 2.
Malah,
saya yakin satu hari nanti khidmat guaman bakal selari dengan
perkembangan teknologi. Saya juga mempunyai perancangan untuk
melaksanakan khidmat guaman secara on-line.
4. Berapa jam sehari anda peruntukkan untuk membaca buku?
Sekurang-kurangnya tiga jam.
5. Kaedah didikan anak yang anda amalkan?
Setiap
hari sebelum waktu Maghrib, saya akan berusaha berada di rumah untuk
menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah. Bagi solat Jumaat pula,
saya dan anak akan bertemu di masjid sama dan perbincangan mengenai isi
khutbah diadakan bersama mereka di rumah.
6. Destinasi pelancongan terakhir anda?
Los Angeles dan Florida, tahun lalu.
7. Prinsip hidup anda?
Kebenaran dan keadilan seharusnya diletakkan pada sesuatu yang berhak.

MINI...menghabiskan masa membaca buku di perpustakaan mini di pejabatnya.
Sumber:
harian metro online