Oleh Petah Wazzan Iskandar
wazzan@bharian.com.my
2011/04/22
KERETA Api Bukit Bendera menggunakan koc buatan Switzerland yang lebih moden dan selesa.
GEORGETOWN: Tambang kereta api Bukit Bendera untuk pelancong tempatan dinaikkan 100 peratus iaitu RM8 untuk dewasa dan RM4 untuk kanak-kanak apabila perkhidmatan itu beroperasi semula 1 Mei ini, berbanding masing-masing RM4 dan RM2 sebelum ini.Tambang baru pelancong asing pula ialah RM30 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak.Mengikut struktur tambang diumum Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Datuk Lee Kah Choon, semalam, tambang baru itu disebabkan peningkatan kos operasi kereta api elektrik yang lebih moden berbanding sebelum ini yang digerakkan dengan kabel.
Perkhidmatan kereta api Bukit Bendera diberhentikan operasinya pada Februari 2010.
Ini kali pertama, PHC memperkenalkan tambang warga asing, pakej keluarga (dua dewasa dan dua kanak-kanak), tambang sehala dan Orang Kurang Upaya (OKU). Pas bulanan untuk pekerja dan penduduk di Bukit Bendera kekal pada harga RM24.
Pakej keluarga rakyat tempatan ditetapkan RM18, manakala pakej keluarga warga asing pula RM70. Tambang sehala kini ditetapkan RM5 dan OKU boleh menggunakannya secara percuma.
Kah Choon berkata, meskipun kadar tambang baru berkuat kuasa 1 Mei, orang ramai boleh menggunakan kereta api itu mulai Isnin ini dengan dikenakan tambang RM10 untuk disumbangkan kepada Tabung Larian Amal kendalian kerajaan negeri.
Katanya, kos operasi bagi setiap perjalanan kereta api ialah RM500 kerana ia menggunakan elektrik dan kos itu lebih tinggi berbanding kereta api kabel sebelum ini.
Kereta api baru ini lebih laju dan menggunakan koc buatan Switzerland yang moden serta selesa untuk penumpang dan jadual perjalanan kereta api itu ialah setiap setengah jam mulai 6.30 pagi hingga 9 malam setiap hari.
Kapasiti kereta api ini juga bertambah kepada 1,000 orang sejam berbanding 280 sebelum ini. Malah, penumpang tidak perlu menukar gerabak untuk sampai ke puncak bukit dan perjalanan hanya mengambil masa lima minit.
Kah Choon berkata, pihaknya menjangka lebih 600,000 pengunjung akan menggunakan perkhidmatan itu setahun.
Projek menaik taraf kereta api Bukit Bendera dibiayai Kerajaan Persekutuan membabitkan kos RM73 juta termasuk pembinaan kemudahan asas lain seperti tempat letak kenderaan di kaki bukit itu.
Sumber:- Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment