|
Gambar Hiasan |
ADAKAH kebelakangan ini anda mendapati sukar menumpukan perhatian pada kerja atau pelajaran dan mengambil masa lebih lama untuk menyiapkan tugasan yang diserahkan kepada anda? Mungkin ada yang tidak perasan kegiatan harian dan aktiviti kegemaran anda menjadi ‘pembunuh senyap’ kepada daya tumpuan.
Selain masalah keletihan dan tidak cukup tidur, ada banyak faktor lain yang bukan saja boleh mengganggu tumpuan malah ia juga menyebabkan kerja semakin tertangguh yang akhirnya membuat kita berasa tertekan. Antara faktor itu ialah:
Laman sosial - Kajian menunjukkan rakyat Malaysia mempunyai rangkaian sahabat online yang terbesar di dunia dengan purata 233 rakan daripada pelbagai laman sosial (contohnya Facebook, Twitter dan MySpace). Malah penduduk negara ini menghabiskan kira-kira sembilan jam seminggu untuk melayari laman sosial sama ada melalui komputer atau telefon bimbit.
Ada orang beranggapan mereka masih boleh menyiapkan kerja sambil melayari laman sosial. Namun, hasil kerja yang dilakukan secara sambilan ini tidak sama dengan yang diberikan tumpuan sepenuhnya, bahkan kita juga terdorong melakukan kesilapan.
Ini kerana setiap kali anda melakukan apa saja aktiviti di laman sosial sama ada mengemas kini status anda, membaca status orang lain atau bersembang, tumpuan anda terhadap kerja akan terhenti. Anda akan mengambil sedikit masa untuk mengembalikan semula perhatian kepada kerja.
Akibatnya kerja yang boleh disiapkan dalam sejam mungkin mengambil masa sehingga dua atau tiga jam.
Malah laman sosial juga boleh menyebabkan lesu kerana kurang rehat dan tidur khususnya bagi individu yang bersembang hingga larut malam. Jika keadaan ini berlarutan, anda terdedah kepada pelbagai bahaya seperti terlelap ketika memandu (risiko terbabit dalam kemalangan), cepat marah dan tekanan darah meningkat.
Lambakan e-mel - Walaupun ia mungkin berkaitan dengan kerja tetapi ia masih dianggap mengganggu tumpuan pada kerja. Untuk menangani perkara ini, tetapkan waktu khusus untuk memeriksa e-mel seperti pada waktu pagi sebelum memulakan kerja, tengah hari (ketika rehat) dan petang sebelum balik ke rumah.
Melakukan banyak perkara dalam sesuatu masa - Ia mungkin dianggap cekap dan pantas kerana dapat melakukan banyak kerja dalam masa yang lebih singkat. Bagaimanapun, kajian mendapati anda membuang lebih banyak masa apabila tumpuan beralih daripada satu tugas ke tugas yang lain. Lebih baik langsaikan satu tugas dalam satu masa.
Mengantuk - Ini adalah antara masalah yang kerap dihadapi terutama selepas makan tengah hari. Sebenarnya ada banyak faktor yang membuatkan anda mengantuk antaranya letih, tidak cukup tidur, terlalu banyak makan (dan makanan yang diambil berkalori tinggi), kesan ubat, kurang bersenam dan bosan. Malah kekurangan air juga boleh mengantuk.
Untuk mengatasinya, jangan makan sehingga terlalu kenyang pada waktu tengah hari dan minum banyak air masak. Luangkan sedikit masa untuk tidur sekejap (antara 15 hingga 20 minit) pada waktu rehat. Selain itu banyakkan berjalan ketika berada di pejabat termasuk menaiki tangga untuk ke jabatan lain. Pada waktu petang, pergilah bersenam sebelum balik ke rumah.
Rasa bosan - Jika inilah masalah anda, cuba fikirkan mengapa anda bosan. Cara mengatasinya, sebelum pergi kerja; buat perjanjian dengan diri sendiri. Jika anda berjaya menyelesaikan tugas dalam waktu yang ditetapkan, anda berhak rehat 10 minit, minum secawan kopi atau makan snek kegemaran anda. Bagaimanapun, elakkan snek berkalori tinggi, bimbang ia akan menimbulkan masalah berat badan pula.
Lapar dan makanan ringan - Jangan biarkan perut anda berkeroncong kerana ia boleh menjejaskan tumpuan. Jika tidak sempat bersarapan di rumah, makanlah di tempat kerja dan pilih sajian yang seimbang. Elak meletakkan makanan ringan di atas meja anda kerana makan sambil kerja juga boleh mengganggu tumpuan.
Tekanan - Ia mungkin disebabkan bebanan kerja, soal kewangan atau masalah peribadi. Jangan bawa masalah peribadi ke tempat kerja. Jika anda terlalu banyak kerja, kenal pasti mana yang perlu disegerakan dan disiapkan dulu walaupun semuanya sama penting.
Apabila anda berasa tegang, tarik nafas panjang- panjang dan hembus perlahan-lahan. Bangun dan buat sedikit senaman ringan (atau berjalan seketika).
Jika sudah sampai waktu solat, pergilah menunaikan kewajipan anda. Solat adalah antara cara terbaik untuk mengurangkan tekanan dan menenangkan fikiran.
No comments:
Post a Comment