Nuffnang

Jom Join..

PHEW....BLOG INI TELAH DIBUKA SEBANYAK…

Imam Muda Asyraf tidak tersasar

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

JUARA Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 27, mengakui kehidupannya padat dengan pelbagai aktiviti berbanding sebelum menyertai program berkenaan.

Kesibukannya semakin ketara sejak diberi tanggungjawab mengendalikan rancangan Soal Asyraf yag disiarkan di Astro Oasis, sehingga tugasannya sebagai imam masjid tidak dapat dilakukan sepenuh masa.

Malah katanya, sejak tampil dalam program berkenaan, beliau sering diundang untuk memberi motivasi atau mengadakan forum di institusi pengajian tinggi (IPT).

Namun kata Asyraf, beliau tidak menyesal kerana gelaran yang diraih itu memberinya peluang untuk berkongsi ilmu dan berdakwah menerusi pelbagai medium terutamanya di kalangan generasi muda.

"Jadual kerja yang padat ditambah dengan pengajian saya di Universiti Malaya (UM) dalam jurusan syariah membuatkan saya tidak berkesempatan untuk memikirkan tentang pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi, seperti yang ditawarkan.

"Saya bercadang meneruskan pengajian dalam bidang ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) di sana selepas saya tamat Ijazah Sarjana jurusan Syariah di UM," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Imam Muda musim kedua di Restoran Al-Diafah, Seri Petaling, baru-baru ini.

Kata anak kelahiran Pulau Pinang itu, selepas melalui fasa juara Imam Muda musim pertama, beliau harus mengatur strategi bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.

Menurutnya, walaupun tidak berkesempatan menjadi imam di masjid yang ditentukan secara tetap, namun tugasannya itu sering dipikul bersama rakan-rakan lain.

Jelasnya, tugasan secara bergilir di pelbagai masjid di kalangan para peserta program berkenaan memberi ruang kepada mereka untuk mendekati lebih ramai orang.

"Kalau bertugas di satu masjid sahaja mungkin hanya kariah berkenaan sahaja yang saya kenali. Bila saya dan rakan-rakan dipanggil menjadi imam di pelbagai masjid, secara tidak langsung kami membantu antara satu sama lain," katanya.

Sehubungan itu juga, Asyraf menolak dakwaan yang mengatakan beliau 'tersasar' daripada objektif program Imam Muda lantaran sibuk dengan tugasan sebagai hos.

Dalam pada itu, Asyraf mengakui pendedahan terhadap dunia penyiaran selepas menyertaiImam Muda membuatkan beliau menyimpan impian untuk bergiat aktif di belakang tabir.

Menurut Asyraf, untuk permulaan beliau berjinak-jinak menghasilkan skrip bagi iklan pendek yang cadangnya disiarkan di Internet terlebih dahulu.

"Buat masa sekarang saya dan seorang rakan sedang menyiapkan draf untuk iklan pendek. Sebagai permulaan, iklan tersebut mungkin disiarkan di laman sosial Facebook.

"Iklannya mudah sahaja, iaitu memetik mana-mana hadis berkaitan akhlak dan dijadikan cerita untuk kemudahan orang ramai. Kiranya ini adalah cerita pengajaran yang dibuat dalam bentuk iklan," jelasnya.

Katanya, penghasilan itu adalah kesinambungan hasil kerja peserta Imam Muda yang tidak terbatas sebagai imam sahaja.

Asyraf turut memberi nasihat kepada bakal-bakal peserta program Imam Muda musim kedua supaya menjadi diri sendiri dan ikhlas sewaktu uji bakat.

Ujarnya, jangan meniru identiti peserta musim lalu kerana setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri.
"Adalah mudah kalau mereka membuat persiapan dan tampil dengan gaya tersendiri tanpa  terikut-ikut gaya orang lain. Saya percaya saingan lebih sengit kerana mereka mungkinsudah melihat perjalanan peserta musim lalu.

"Paling penting, program ini bukan untuk mengejar populariti kerana kualiti lebih diutamakan kerana tanggungjawab yang dipikul oleh seorang imam berat," katanya terus terang.

Sumber :- Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Post Menarik yang lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...