Nuffnang

Jom Join..

PHEW....BLOG INI TELAH DIBUKA SEBANYAK…

Bukan mudah tetapi tidak mustahil

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali

DUNIA pendidikan baru kini melangkah era lebih mencabar apabila institusi pendidikan tinggi (IPT) negara menyasarkan matlamat melahirkan 60,000 rakyat Malaysia berkelayakan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) menjelang 2023.

Sasaran itu bukan saja menjadikan institusi pengajian tinggi gedung ilmu terulung malah memartabatkan dunia pendidikan negara ke peringkat global.

Bagaimanapun, mampukah matlamat itu dicapai atau adakah ia sekadar perancangan drastik bagi mencapai matlamat menjadi negara maju menjelang 2020? Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Ramlee Mustapha, berkata sasaran itu perlu dilihat dalam konteks positif bagi memberi keyakinan melaksanakannya.

Beliau berkata, elak daripada bersikap rendah diri atau kurang yakin kerana ia boleh membantut usaha membantu masyarakat menerima konsep pembaharuan dunia pendidikan.

"Masyarakat perlu akur, sistem pendidikan negara hari ini semakin kompleks dan memerlukan suntikan elemen baru bagi bersaing dengan institusi luar negara.

"Transformasi yang dilaksanakan menunjukkan kita bersedia meneroka dunia baru. Ia dibuat bukan sekadar suka-suka tapi selepas meneliti keperluan, kemampuan serta kehendak dunia pendidikan negara pada masa depan."Beri kepercayaan penuh kepada universiti dan kerajaan melaksanakan tanggungjawab itu. Ia bukan mudah tetapi tidak mustahil asalkan ada sokongan rakyat dan perancangan yang baik," katanya.

My Brain15 adalah sasaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melahirkan sekurang-kurangnya 60,000 rakyat Malaysia berkelayakan PhD menjelang 2023.

Ia bertujuan menaikkan taraf profesionalisme universiti serta pensyarah dan melaksanakan perkongsian ilmu berkualiti tinggi dengan mahasiswa dalam melahirkan graduan kelas pertama.

Manakala takrifan PhD pula merujuk kepada penganugerahan Ijazah Penyelidikan Tertinggi kepada mahasiswa yang menamatkan sesuatu kajian pasca siswazah dengan tesis mengandungi kajian asli dalam bidang sains atau ilmu kemanusiaan. Beliau mengakui bukan mudah mencapai sasaran itu kerana membabitkan pelbagai peruntukan kewangan seperti peningkatan pembiayaan R&D, menarik profesor bertaraf dunia, penambahbaikkan prasarana, kualiti pengajaran dan pembelajaran, penyeliaan dan sebagainya.

Menurutnya, dibandingkan universiti negara luar, misalnya Finland, Amerika Syarikat dan United Kingdom, sistem pendidikan mereka mantap dan bertaraf dunia, justeru ia mampu memiliki 100 peratus pensyarah berkelayakan PhD.

"Kita masih jauh ketinggalan kerana kesemua universiti tempatan belum mencapai 100 peratus pensyarah PhD. Bagaimanapun, jangan terlalu membandingkan IPT negara ini dengan negara luar kerana kita masih dalam kategori negara membangun.

"Yang penting perlu ada komitmen yang kuat, perancangan jitu dan kerjasama mantap oleh semua pihak," katanya.

Katanya, dengan meletak matlamat dan sasaran Petunjuk Prestasi Utama Nasional (KPI), universiti tempatan berusaha melonjakkan potensi, profesionalisme serta kredibiliti masing-masing ke tahap lebih baik.

"Mereka akur perlu berdaya saing untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan dan pembangunan pada masa yang tepat untuk memasuki pasaran sebagaimana disarankan Alvin Toffler mengenai "The Clash of Speed" iaitu siapa yang cepat dia akan menang dalam dunia globalisasi kini.

"Inilah paradigma yang boleh mencetuskan senario baru dalam sistem pendidikan negara. Bukan bermakna universiti tempatan selama ini tidak berkualiti tetapi kita memerlukan pemimpin intelek yang lebih agresif," katanya.

Beliau menafikan proses pensyarah mendapatkan 'Dr' mudah kerana ia memerlukan perancangan, kerajinan serta kekuatan mental dan fizikal.

"Disiplin tinggi penting kerana memperoleh PhD adalah satu proses yang ketat. Selain sumber kewangan besar, mereka juga perlu bersedia menjalankan penyelidikan berkualiti untuk melahirkan "ilmu" baru.

"Disebabkan ini bukan semua calon PhD mampu menamatkan pengajian dalam jangka masa ditetapkan.

"Jika mahu mencapai matlamat itu, usaha berganda perlu digembleng kerana masanya kian suntuk apatah lagi tempoh 2023 semakin hampir," katanya Ditanya adakah IPT negara bersedia bersaing dengan universiti luar, beliau berkata setiap institusi mempunyai pelan strategik dalam merangka setiap persediaan mengikut tempoh sasaran.

"Dari segi persaingan, semua institusi berkemampuan menunjukkan persaingan, membezakannya adalah pengalaman, kemampuan serta perancangan bagi mencapai sasaran itu.

"Untuk membangunkan sesebuah universiti hingga mampu menjadi terkenal, bukan mudah dan memerlukan tempoh masa panjang bagi memantapkan setiap program.

Universiti Harvard pun mengambil masa ratusan tahun untuk menjadi terkenal. "Tidak mustahil kita juga boleh melakukannya dengan syarat mesti mengkaji secara mendalam "rahsia" kejayaan mereka," katanya.

>INFO:

> Ijazah doktor falsafah pertama kali dianugerahkan oleh Universiti Paris pada 1150. Bagaimanapun, gelaran PhD yang diterima pada zaman ini sebagai ijazah tinggi kedoktoran bermula daripada amalan universiti di Jerman.
> Di Eropah moden, amalan penganugerahan dimulakan pada abad kesembilan oleh Friedrich Wilhelm University di Berlin. Seterusnya digunakan Yale University pada 1861 dan di United Kingdom pada 1917.


Bilangan pensyarah berkelayakan PhD di lima universiti penyelidikan negara.
1. Universiti Sains Malaysia - 1,311 orang
2. Universiti Malaya - 1,094 orang
3. Universiti Putra Malaysia - 1,055 orang
4. Universiti Teknologi Malaysia - 949 orang
5. Universiti Kebangsaan Malaysia - 919 orang


Bilangan pensyarah berkelayakan PhD di beberapa institusi pengajian tinggi awam tempatan:
1. Universiti Teknikal Malaysia - 90 orang
2. Universiti Pendidikan Sultan Idris - 228 orang
3. Universiti Sains Islam Malaysia - 110 orang
4. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia - 151 orang
5. Universiti Utara Malaysia - 404 orang

Sumber :- Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Post Menarik yang lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...