Nuffnang

Jom Join..

PHEW....BLOG INI TELAH DIBUKA SEBANYAK…

Solat Pakai Kasut?

Gambar Hiasan

Ada seorang jemaah masjid baru-baru ini mengadu kepada saya tentang satu kem solat yang mengajar peserta solat diatas padang dan memakai kasut. Juga difesyenkan dengan jersi berpeluh dan seluar berlumpur.
“Kalau tak dapat tempat yang sesuai nak buat program, janganlah pandai-pandai buat mazhab baru” kata lelaki tersebut.
Saya tersenyum dan cuba menenangkan lelaki yang kuat beragama dan bersemangat itu. Benar ianya suatu yang baru bagi yang jarang melihatnya. Namun yang baru dan jarang dibuat orang itu bukan semestinya haram.
Syeikh Muqbil bin Hadi al-Wadi’e dalam kitabnya Majmu’ Rasa’il ‘Ilmiyyah telah mengatakan bahawa solat dengan memakai sepatu merupakan suatu sunnah yang sudah dilupakan.
Ibnu Muflih dalam kitabnya al-Aadaab Al-Syar’iyyah Jil 3 hlm 511 telah meletakkan bab khusus ” Fasl Istihbab Salah fi Ni’al (Perihal Disunnahkan solat dengan memakai kasut). lalu dia berkata Syeikh Ibn Taimiyyah menyebutkan bahawa solat dengan memakai sandal atau sejenisnya itu disunnahkan.
Ada hadis berkenaan bab ini dari Abu Maslamah Said Bin Yazid Al-Azyid ra katanya, “aku pernah bertanya Anas bin Malik adakah Rasulullah SAW pernah solat dengan memakai kasut?” Anas menjawab “Ya!” (Hadis riwayat Imam Bukhari no. 386, Muslim no. 555 dan dalam sunan Tirmidzi n0. 396)
Kemudian Abu Maslamah mengatakan bahawa para ulama sepakat mengamalkannya.
Begitu juga hadis dari Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash dia berkata : ” Aku pernah melihat Rasulullah mengerjakan solat dengan kaki telanjang (tidak berkasut) dan berkasut”. Hadis riwayat Ahmad no.6627, Abu Daud no.653, Ibn Majah no. 1038.
Abu Sa’id al-Khudri meriwayatkan bahawa suatu ketika Rasulullah SAW mengerjakan salat, beliau membuka kedua kasutnya, lalu orang-orang yang ada dibelakang beliau pun membuka kasut mereka. Selesai solat, beliau bertanya : Kenapa kamu semua membuka kasut kamu? Mereka menjawab : Wahai Rasulullah SAW, kami melihat engkau membuka kasut, sebab itu kami juga membuka kasut. Beliau berkata : “Sesungguhnya Jibril mendatangiku, lalu memberitahuku bahawa ada kotoran ( Najis ) di kedua kasutku. Jika salah seorang diantara kamu mendatangi masjid, maka tengklah kasutnya. Kemudian lihatlah, jika ada kotoran (najis) pada keduanya, maka gosok-gosokkanlah ke tanah, setelah itu solatlah dengan memakai keduanya”. hadis riwayat Ahmad no. 1153, Abu Daud no. 605, Ibn Khuzaimah no. 1017. Pentahqiq kitab al-Musnad Imam Ahmad mensahihkannya.
Beberapa ulama Hadis ada menerangkan berkenaan isu ini.
  1. Imam Tirmidzi didalam kitab sunannya ketika meriwayatkan hadis pertama diatas berkata“Didalam bab ini terdapat hadis dari Abdullah Ibnu Masud,Abdillah bin Habibah,Abdillah bin Amr,Amr Bin Huraits,Syaddad bin Ans,Ats Tsaqafi,Abu Hurairah dan Atha’ dari bani hanidah.Dan hadis ini diamalkan oleh para ahli ilmu.
  2. Imam al-Iraqi didalam syarahnya terhadap kitab sunan Imam Tarmidzi Bahawa solat dengan memakai kasut diamalkan dan disukai oleh Umar Al-khatab,Uthman Ibnu Affan,Abdullah Ibnu Abbas,Anas bin Malik,Salamah bin Al-Akwa dan Aus ibnu Ath-Tsaqafi (RA)
Sabda Nabi Muhammad SAW “Berperilakulah yang berlawanan dengan orang-orang yahudi kerana mereka tidak mengerjakan solat dengan memakai sandal atau kasut mereka”(Hadis dari Syaddan binAus dari Ayahnya,Sunan Abu Daud no:622)..Hadis ini diucapkan oleh nabi disebabkan pada awal penghijrahan umat Islam ke Madinah ketika itu di Madinah sudah ada kaum Yahudi yang tinggal disana.
Dan ada sebahagian kita akan ragu-ragu dengan sunnah ini tapi kita kena ingat bahawa Sunnah Nabi adalah lebih utama kita ikuti dari pandangan kita sendiri atau keraguan nafsu.Imam Ibnu Qoyim menyatakan dalam hal ini “Diantara yang tidak menyenangkan hati orang yang was-was ialah solat dengan berkasut padahal ianya a adalah sunnah Nabi SAW dan para sahabat,.Imam Ahmad pernah ditanya mengenai solat berkasut, maka katanya “Demi Allah solat berkasut itu adalah baik benar”
Kenyataan saya ini bukanlah ingin mempromosi solat dengan memakai kasut. Bukan juga tidak lama lagi saya ingin mengeluarkan produk ‘kasut untuk solat’. Tidak sama sekali. Apatah lagi hendak menyeru orang ramai masuk kedalam masjid dengan memakai kasut memijak marmar, karpet, kayu yang indah-indah semata-mata mahu mengamalkan sunnah. Kalau saya jadi Tok Imam Masjid pun marah masuk pakai kasut. Kasihankan tok siak masjid. Namun ianya sekadar jawapan yang ditanya oleh beberapa pihak yang menolak dengan keras perilaku solat dengan memakai kasut walau diatas padang, dan ditempat yang sukar dihamparkan sejadah seperti adat kebiasaan kita turun temurun.
Saranan saya, kalau boleh buka kasut, buka sahaja untuk mengelakkan fitnah dari tersebar di kalangan masyarakat. Namun sekali sekala proses mempromosikan sunnah yang ditinggalkan ini juga perlu dilakukan dengan hikmah. Ini kerana, takut-takut, kita mengeji, menghina, mengutuk sesuatu yang bukan atas dasar ilmu. Sedangkan ianya merupakan sunnah dan petunjuk dari Nabi SAW.
Ayuh kita tenang dalam meletakkan hukum kepada manusia…

No comments:

Post a Comment

Post Menarik yang lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...