KUALA PILAH - Tiga beradik dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi-manda di kawasan perkelahan Hutan Lipur Ulu Bendul dekat sini semalam.
Mangsa yang hilang ialah Nur Syaza Alisa Syed Ahmad, 5; Nur Syaza Azira, 4, dan Nur Syaza Sakinah, 2.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang, bapa kepada tiga kanak-kanak malang itu, Syed Ahmad Ibrahim, 28, dan seorang kenalan wanitanya, Alwani Abu Hassan, 20-an sempat diselamatkan oleh orang ramai yang berada di kawasan perkelahan itu.
Syed Ahmad dan Alwani dirawat di Hospital Kuala Pilah di sini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis meneruskan usaha mencari tiga beradik itu.
Difahamkan semasa kejadian ibu kepada tiga beradik itu, Wan Azlela Wan Abdullah, 27, yang tinggal di Taman Marinda, Senawang tiada di tempat kejadian kerana telah bercerai dengan Syed Ahmad.
Syed Ahmad didakwa telah menjemput anak-anaknya yang dijaga oleh Wan Azlela di Taman Jasmin, Senawang untuk dibawa berkelah ke air terjun itu.
Seorang saksi, Turiman Bostam, 42, berkata, semasa kejadian dia berjalan menyusur sungai di situ dalam keadaan hujan renyai-renyai sebelum terkejut melihat arus deras dari arah hulu sungai.
Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.
Sumber:- Kosmo Online
No comments:
Post a Comment