DIKEHENDAKI...ini fotofit suspek yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur malam tadi. Menurut polis, suspek dipercayai berumur lingkungan 30-an dan bermisai.
KUALA LUMPUR: “Sebaik saja saya buka tingkap kereta, tiba-tiba saya rasa bagaikan disimbah sebaldi air sehingga menyebabkan muka dan hampir seluruh badan basah kuyup.
“Saya panik dengan apa yang berlaku sehingga tidak mengetahui apa yang perlu saya lakukan kerana kejadian berlaku begitu pantas. “Pandangan saya kabur kerana kuantiti ‘air’ yang disimbah banyak dan tepat mengenai mata,” kata mangsa ke-23 kes simbahan cecair yang hanya mahu dikenali sebagai Emma, 31, dalam kejadian di Wangsa Maju, dekat sini, semalam.
Menceritakan semula kejadian kira-kira jam 8.35 pagi itu, Emma berkata, dia memandu bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar sepupunya yang bekerja di Wangsa Maju.
“Sebaik saja saya menghantar sepupu ke tempat kerja, saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah di AU4, Keramat kerana ingin membantu ibu menguruskan majlis kenduri yang akan diadakan keesokan hari.
“Sebaik tiba di simpang tiga, tiba-tiba saya didatangi lelaki bermotosikal dan menyimbah cecair tepat pada muka saya,” katanya.
Bimbang cecair yang digunakan suspek berasid, Emma yang juga anak kepada seorang pegawai polis, bergegas ke klinik berhampiran ditemani ibunya untuk mendapatkan rawatan lanjut. “Doktor yang merawat saya mengatakan cecair yang disimbah pada badan saya tidak berbahaya kerana tidak terdapat tanda-tanda cecair itu mengandungi asid.
“Doktor memberikan beberapa pil alahan sebagai langkah berjaga-jaga bimbang kesan cecair itu pada kulit badan saya,” katanya. Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah, Emma berasa gatal pada bahagian muka dan beberapa bahagian badannya dan timbul bintik kemerahan pada bahagian tangan, tetapi bersyukur ia tidak serius.
Khuatir dirinya diancam kejadian yang sama, Emma tampil membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju ditemani ahli keluarga terdekat.
Emma berkata, dia kini trauma jika melihat individu yang menaiki motosikal kerana masih terbayang-bayang kejadian malang yang menimpa dirinya.
“Saya tidak akan sesekali menurunkan cermin tingkap kereta walau apa pun terjadi dan akan lebih berhati-hati sewaktu memandu seorang diri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi Harian Metro semalam, mengesahkan kejadian yang menimpa mangsa.
Ku berkata, polis kini sedang menyiasat sama ada suspek dalam kejadian di Wangsa Maju semalam, mempunyai kaitan dengan kes simbah cecair yang dilaporkan sebelum ini.
Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian simbah asid supaya tampil membantu polis menjalankan siasatan kerana ia akan mempercepatkan suspek ditahan pihak berkuasa.
Sumber:- Metro Online
No comments:
Post a Comment