Gambar Hiasan
Rumah merupakan keperluan kepada golongan muda. Ia berfungsi sebagai tempat untuk dihuni, berlindung dari cuaca dan gangguan musuh. Sama seperti udara, air dan makanan rumah merupakan keperluan asas manusia. Zaman berubah rumah yang pada awalnya menjadi keperluan tempat perlindungan semata-mata turut menjadi simbol status sosial. Ahli falsafah juga mengungkapkan “rumahmu adalah wajahmu dan jiwamu”.
Keinginan memiliki rumah dalam usia semuda mungkin, merupakan cita-cita setiap orang muda. Hasrat ini tentulah bersesuaian dengan Dasar Perumahan Negara (DRN) yang bermatlamat menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki bagi meningkatkan kemapanan hidup. Secara mudah kerajaan mesti memastikan semua rakyat dapat memiliki atau menyewa rumah terutama kepada berpendapatan rendah dan sederhana. Sudah semestinya dasar ini mesti dirasai oleh golongan muda kerana mereka biasanya baru bekerja dan berpendapatan dalam skala rendah dan sederhana. Apatah lagi jika rumah tersebut selesa dan mampu dimiliki.
Menerusi Bajet 2011, Perdana Menteri telah memperkenalkan inisiatif sebanyak RM 568 juta kerajaan terhadap Projek Bantuan Perumahan Bandar – 79,000 unit (Program Perumahan Rakyat) dan 8,000 unit (Projek Bantuan Rumah Sewa). Baru – baru ini Skim Rumah Pertamaku (SRPK) dilancarkan dengan memberi pinjaman 100 peratus kepada golongan muda yang berpendapatan RM3,000. Skim tanpa deposit 10% membenarkan golongan muda berumur 35 tahun ke bawah memiliki rumah berharga antara RM100,000 hingga RM220,000.
Idea ini harus dipuji kerana SRPK membantu golongan muda memiliki rumah pertama dengan lebih cepat. Di peringkat akar umbi kita menerima respons yang perbagai.
Ada dalam kalangan anak muda yang tiada lebihan kewangan untuk memiliki rumah. Gaji mereka cukup sekadar menanggung perbelanjaan bulanan. Jika mereka bersetuju untuk menerima tambahan beban hutang bermakna mereka perlu menambah pendapatan bulanan atau mengurangkan perbelanjaan. Keadaan menjadi semakin kritikal apabila mereka tinggal di bandar-bandar besar dan masih lagi menanggung adik dan ibu bapa.
Sistem pendidikan sedia ada hanya membolehkan mereka yang berumur pertengahan 20an untuk memulakan kerjaya. Tanggungan utama mereka setelah bekerja ialah membayar kembali pinjaman pendidikan, berkahwin dan memiliki kenderaan untuk ke tempat kerja. Hanya setelah mereka berkeluarga dan stabil dalam pendapatan barulah idea memiliki rumah sendiri muncul.
Pembiayaan pembelian rumah masih lagi di bawah penilaian bank. Penilaian bank yang merujuk kepada kemampuan bayar balik merumuskan hanya pembeli yang layak sahaja bakal menikmati pinjaman. Selagi pihak bank tidak melonggarkan kriteria untuk skim ini selagi itu ia hanya bakal dinikmati oleh sebahagian kecil golongan muda.
Dalam perkiraan mudah dengan rumah yang berharga RM200,000 dan tempoh bayaran 25 tahun para peminjam akan membayar RM1,000 sebulan. Jika diambil perkiraan 25 peratus dari pendapatan maka para peminjam mestilah berpendapatan RM4,000. Biasanya tahap gaji ini akan diperoleh setelah lima tahun bekerja.
Oleh sebab itu skim ini hanya akan berjaya sepenuhnya jika dua faktor ini diambil kira iaitu setiap anak muda mesti mempunyai kemahiran merancang dan mengurus kewangan. Faktor lain ialah pihak bank mesti cukup fleksibel dalam membantu golongan muda memiliki rumah dan membantu pihak kerajaan melaksanakan SRPK sebagai tanda `terima kasih’ kepada kerajaan kerana menyediakan iklim perniagaan yang stabil. Pemaju juga mesti bertanggungjawab menyediakan kualiti rumah yang sedia bersesuaian dengan harga dan mampu milik oleh para belia.
Sekiranya tidak dibimbing ada kemungkinan anak muda akan mengambil tindakan yang silap dalam mengurus kewangan ketika mula bekerja. Berbanding dengan memiliki rumah, memiliki kenderaan adalah jauh lebih mudah dari segi pembiayaan dan deposit. Jarang sekali anak muda melihat rumah sebagai aset pelaburan yang punya harga tinggi apabila dijual kembali. Bahkan dari segi jangka panjang susut nilai kenderaan jauh lebih tinggi berbanding dengan rumah. Ini tidak termasuk promosi kad kredit yang begitu menggiurkan para anak muda.
Sebab itu orang muda jangan terperangkap dengan keseronokan sementara!
* Penulis ialah Naib Presiden MAYC Kebangsaan
Sumber:- Sinar Harian Online
No comments:
Post a Comment